Awas jangan jadi agen penyebar fitnah !

awas

 

Di mana sahaja kita berada,kita terdedah kepada pelbagai sumber maklumat,sama ada dalam bentuk lisan mahu pun tulisan.Bagaimanapun ia perlu ditentukan kesahihannya terlebih dahulu,agar maklumat yang kita terima itu tidak berunsurkan fitnah.

Fitnah secara umumnya merujuk kepada tuduhan atau khabar angin yang diada-adakan bagi memburukkan seseorang atau sesuatu pihak,yang sekali gus memberi impaknegatif terhadap penghormatan,keiwbawaan atau reputasi seseorang.Ia melibatkan perkataan yang menyakitkan hati serta niat jahat berikutan rasa dengki dan iri hati.

Pada zaman canggih sekarang  ini penyebaran fitnah tidak terhad melalui percakapan,malah turut berlaku melalui e-mel,sistem pesanan ringkas(SMS),televisyen,radio,laman web,blog dan pelbagai media baru lagi,yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.Perkembangan teknologi kini menyebabkan penyebaran fitnah semudah satu dua tiga.Ia boleh dilakukan hanya di dalam bilik tidur atau di dalam kereta.

Sedar atau tidak,seolah-olah menjadi satu budaya,kita selalu menghantar semula SMS,e-mel atau berita yang kita terima kepada rakan-rakan.Sedangkan kita tidak pastikan kebenaran maklumat tersebut.Lebih-lebih lagi di zaman facebook sekarang ini,penyebaran dan perkongsian maklumat menjadi lebih mudah iaitu dengan hanya menekan butang kongsi atau share.Jika maklumat tersebut tidak benar,maka tersebarlah fitnah yang memungkinkan kita mendapat ‘saham’ daripadanya.

Begitu juga dengan laman-laman blog yang sebilangannya menjadi arena tuduh –menuduh atau mempertahankan sesuatu pihak dalam menegakkan benang yang basah.Ia bukan sahaja melibatkan manipulasi fakta lisan dan tulisan,malahan bahan-bahan digital seperti gambar,audio visual dan sebagainya.
Akhirnya keadaan ini mencetuskan suasana kacau bilau dan permusuhan kita sesama umat islam.Bahkan lebih buruk daripada itu,ia boleh memutuskan tali silaturahim yang telah terbina sekian lama.

Umat islam dilarang berkelahi sesama sendiri melebihi tiga malam,apatah lagi berkesudahan tanpa berkesudahan.Diriwayatkan daripada Abu Ayub al-Ansari ra,sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda : “Harama bagi seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih daripada tiga malam,apabila kedua-duanya bertemu saling memalingkan mukanya.Sementara itu,yang terbaik antara kedua-duanya adalah mereka yang mula mengucapkan salam.”

  Suasana di tempat kerja,majlis-majlis keraian dan pergaulan bersama rakan-rakan seharian turut tidak terlepas daripada unsur-unsur fitnah.Gosip dan berita keburukan seseorang tidak terlepas daripada corong telinga kita sebagai pendengar.Makin ramai kawan kita,makin banyak pula versi ceritanya.

Jangan jadi seperti talam dua muka yang bersiafat hipokrit,menghasut orang serta mengadu domba.Akibatnya, lambat laun sifat seperti ini akan memakan diri dan kita akan dibenci semua orang.

Perbuatan menyebarkan fitnah sangat diambil berat dalam Islam , kerana boleh mencetuskan bibit-bibit permusuhan,seterusnya mengundang perpecahan dalam masyarakat.Keburukan dan pengharaman menyebarkan fitnah jelas diterangkan oleh Allah SWT melalui al-Quran serta hadis-hadis Nabi.Golongan ini akan mnedapat azabNya di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman,bagi mereka azab yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat.Dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui.”(Surah an-Nur(24)ayat 19)

   FirmanNya lagi,yang bermaksud : “Maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara dusta terhadap Allah,dan mendustakan kebenaran sebaik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya.Bukankah dalam nereka Jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang yang kafir?” (Surah az-Zumar (39)ayat 32)

  Diriwayatkan daripada Huzaifah ra,katanya : “Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: ‘Tidak masuk syurga orang yang suka menabur fitnah’.”

  Sebagai seorang Muslim,kita perlu bertanggungjawab dengan segala percakapan,tindakan,tulisan dan apa jua yang disebarkan.Penilaian dan tindak tanduk perlu didasari dengan nilai-nilai kebenaran dan rasional,bukan penguasaan emosional semata-mata.

Justeru,apabila menyedari akan fitnah yang diuar-uarkan kepada orang lain,samada secara sengaja atau pun sebaliknya,maka wajiblah bertaubat.Sesali dan bertekadlah untuk tidak melakukan kembali kesalahan tersebut,memperbetulkan kembali kesalahan yang telah dilakukan itu serta memohon maaf kepada pihak yang berkaitan.    

 

Sumber : Majalah Dian

 

Jom Tengok Jam Pusing Terbalik

Share Button

Incoming search terms:

  • talam dua muka
Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>