Bilik Darjah Kondusif

bilik darjah contoh

 

Sinopsis

Pengurusan bilik darjah sering menjadi isu bagi guru yang belum lama ditempatkan di sekolah.Kanak-kanak sekarang berbeza dengan kanak-kanak dahulu. Mereka adalah aktif,kelihatan seperti hiperaktif,ada yang nakal dan suka bermain,sementara yang lain mempunyai masalah pembelajaran. Murid ini sebenarnya menganggu implementasi rancangan pengajaran dan pembelajaran harian anda. Untuk mengatasi masalah ini,saya perlu memperlengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan pengurusan bilik darjah.

Konsep pengurusan Bilik Darjah

Pengurusan bilik darjah didefinisikan sebagai tindakan dan strategi yang digunakan untuk mengekalkan peraturan bilik darjah. Seorang guru perlu membina keadaan bilik darjah yang kondusif secara berkesan dan menghadapi tingkah laku murid.

 

Faktor Mempengaruhi Pengurusan Bilik Darjah

Untuk memainkan peranan pengurus yang berkesan, anda perlu tahu kesukaran situasi bilik darjah dan apakah factor-faktor yang boleh membantu untuk menghasilkan suasana pembelajaran yang sihat. Seperti yang kita lihat, terdapat beberapa factor yang menyumbang kepada suasana tersebut. Antaranya termasuklah susunan fizikal dan tempat duduk bilik darjah, persekitaran sosial dan emosi semasa di dalam bilik darjah.

 

a)    Faktor Fizikal

Faktor pertama yang mempengaruhi suasana bilik darjah adalah persekitaran fizikal. Bilik darjah yang menarik adalah kondusif untuk pembelajaran. Sebagai seorang guru, dalam kebanyakan kes anda bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penampilan dan keselesaan bilik darjah anda. Contoh, anda akan pastikan lampu bilik darjah cukup terang dan peredaran udara baik. Anda meminta murid anda menjaga kebersihan dan menghiasi bilik darjah. Sudah tentu murid anda seronok belajar dalam bilik darjah yang selesa.

Susunan bilik anda perlu membantu pengajaran dan pembelajaran serta menolong mengekalkan disiplin. Susunan tempat duduk hendaklah menghala kepada papan tulis kerana kebanyakan pengajaran bilik darjah berlaku di situ. Anda juga perlu menyediakan pengorek pensil, buku rujukan, pusat pembelajaran, bakul sampah dll. Letakkan kesemua ini di belakang atau tepi tumpuan utama murid anda kerana perjalanan mundar mandir mereka boleh menganggu orang lain.

 

 

b)    Faktor Sosial

Membina peraturan dan prosedur untuk mentadbir aktiviti dalam bilik darjah adalah contoh pencegahan amalan pengurusan bilik darjah. Peraturan merupakan pernyataan yang menentukan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh murid. Biasanya, peraturan ditulis dengan jelas dan minimum. Prosedur pula adalah cara-cara pelaksanaan tugasan dan aktiviti-aktiviti lain. Ia jarang ditulis, tetapi pengurus bilik darjah yang berkesan menghabiskan masa yang cukup untuk mengajar prosedur kepada murid sepertimana mereka mengajar bahan akademik. Pergerakan murid keluar masuk bilik darjah, perbualan mereka, dan cara mengisi masa lapang (berlaku apabila murid telah siap lebih awal atau sementara menunggu sesuatu seperti bergerak ke bilik darjah lain ataupun menunggu waktu balik) adalah antara aktiviti penting yang memerlukan peraturan untuk mentadbir tingkah laku dan prosedur supaya sesuatu tugas dapat berjalan dengan berkesan. Dengan ini, adakah sebarang kategori peraturan? Mari kita lihat sebahagian daripadanya:

 

Kategori peraturan: salah satu daripadanya adalah berkaitan dengan orang dewasa dan rakan sebaya. Ini bermakna bahawa murid perlu hormat, mesra, dan bersifat membantu terhadap rakan-rakan mereka.

Kedua, peraturan berkaitan dengan tugas akademik: di sini murid akan bekerja dengan gigih dan senyap; buat yang terbaik; dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh.

Ketiga, peraturan berkaitan dengan rutin bilik darjah. Ini bermakna muris perlu mengangkat tangan mereka jika mahu menjawab sebarang pertanyaan. Merek aperlu duduk diam semasa didalam bilik darjah.

Keempat, peraturan berkaitan dengan kendiri. Murid perlu hormat diri sendiri; kemas; menerima kesalahan sendiri dan orang lain; terus berusaha; dan yakin mereka boleh buat semua tugas yang diberikan kepadanya.

Yang terakhir adalah peraturan keselamatan. Murid perlu menjaga diri masing-masing, jaga keselamatan diri dan rakan-rakan mereka. Oleh itu, apakah antara contoh rutin bilik darjah yang menjadi pencegahan?

Bilik darjah yang terurus melibatkan penggunaan masa di sekolah dan bilik darjah secara berkesan. Salah satu daripada matlamat pengurusan bilik darjah adalah meningkatkan kualiti masa dengan mengisi masa murid dengan tugasan. Ini dilakukan dimana, guru perlu memberi aktiviti yang sesuai dengan kebolehan dan minat muridnya. Apabila murid dapati tugasan tersebut mencabar dan menarik, mereka akan memberi sepenuh tumpuan untuk disiapkan pada masa yang ditetapkan.

Apakah factor lain yang boleh mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif selain apa yang telah dibincangkan? Sudah pasti komunikasi berkesan! Jika anda, sebagai seorang guru, tidak mahir dalam berkomunikasi dengan murid anda, maka, anda akan menghadaqpi banyak masalah.

 

c)    Faktor Emosi

Gaya Kepimpinan: gaya kepimpinan yang berbeza akan memberi kesan kepada suasana pembelajaran murid. Kepimpinan authoritarian mengawal murid melalui ganjaran dan hukuman, cuba mendesak hormat daripada murid, dan guru authoritarian akan menekan murid yang membuat kesilapan. Ingatkah anda guru yang sentiasa marah anda setiap kali anda membuat kesilapan seperti tidak boleh menyelesaikan masalah matematik yang mudah? Guru jenis ini mewujudkan suasana pembelajaran yang tertekan, yang tidak kondusif untuk pembelajaran yang sihat.

Satu lagi gaya kepimpinan yang ditunjukkan oleh seorang guru adalah bersifat demokratik. Guru tersebut akan berkongsi tanggungjawabnya dengan muridnya. Terdapat saling hormat dan percaya antara guru dengan muridnya. Pernahkah anda mempunyai guru sedemikian semasa anda bersekolah? Saya rasa anda mungkin suka pada guru jenis ini kerana dia mencari pematuhan melalui galakan dan tidak desakan. Guru anda ini baik, mengambil berat, dan mesra, tetapi dia juga tegas. Dengan berkongsi tanggungjawab, guruanda menolong anda membina penghargaan kendiri anda, anda beryakinan untuk mencuba menyelesaikan soalan atau masalah yang anda tidak biasa. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa produktiviti dan pencapaian adalah tinggi dalam bilik darjah yang mengamalkan kepimpinan demokratik.

Pendekatan kepimpinan terakhir adalah bersifat laissez-faire. Di sini, guru membuat kerja sendiri. Kebebesan tanpa batasan. Murid membuat hal masing-masing. Kepimpinan jenis ini menyebabkan kucar kacir.  Ia mengakibatkan bilik darjah yang tidak terurus, menyebabkan murid rasa kecewa, dan menghasilkan tugasan yang terlalu sedikit.

Motivasi: anda, sebagai guru, perlu cuba memotivasikan murid anda dengan mengharapkan yang terbaik daripada mereka. Anda akan sentiasa menggalakkan mereka giat berusaha. Selain itu, anda perlu menunjukkan contoh kepada tingkah laku yang diharapkan. Tunjukkan contoh yang baik, seperti hormat kepada murid anda. Membina suasana yang positif adalah penting. Selalu masukkan unsur kecindan dalam pengajaran anda. Contoh, anda boleh guna kartun untuk mengajar mata muridan anda.

Anda sepatutnya melibatkan murid anda secara aktif. Guna kaedah kumpulan atau projek dalam pengajaran anda. Anda juga perlu cuba membuat pembelajaran bermakna dengan mengguna masalah harian untuk murid selesaikan. Anda perlu cuba memupuk penghargaan kendiri di kalangan murid anda, puji mereka bila membuat sesuatu yang betul. Berikan keyakinan diri yang mereka perlukan dan selalu beri galakan kepada mereka untuk meneroka bidang baru. Tanamkan semangat ingin tahu dalam pengajaran anda. Untuk mencapainya, anda boleh guna kaedah inkuiri penemuan.

Jangan lupa guna peneguhan sesekali, seperti memberi ganjaran kepada murid di atas hasil kerja yang baik. Anda sepatutnya cuba mengurangkan perasaan bimbang murid dengan memberi mereka masa yang cukup untuk menyiapkan tugasan mereka. Apabila masalah timbul dalam bilik darjah, komunikasi yang baik antara anda dan murid anda adalah diperlukan. Ini bermakna anda tidak mengamalkan jenis komunikasi “guru bercakap – murid mendengar”. Komunikasi sebenar dalah komunikasi yang terbuka dan dua hala, di mana anda bercakap dan mendengar. Dengan cara komunikasi begini, anda akan menggalakkan murid untuk mrlibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran bermakna.

Katalah contoh, anda gagal mengurus bilik darjah anda dengan berkesan, apakah yang anda akan lakukan? Adalah cara yang lain anda boleh guna untuk mengurus bilik darja dengan berkesan. Sebilangan guru mengguna pencegahan pengurusan bilik darjah untuk mengurangkan masalah pengurusan bilik darjah. Jadi, apa dia? Mari kita lihat sebahagian daripada pencegahan ini:

 

Rutin bilik darjah

Konsep Rutin

Rutin bilik darjah merujuk kepada aktiviti pengurusan harian bilik darjah. Ia juga adalah satu prosedur yang tetap yang perlu dijalankan sebagai aktiviti harian bilik darjah. Rutin pengurusan bilik darjah yang sistematik bukan hanya membentuk persekitaran bilik darjah yang kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga meningkatkan semangat kekitaan murid, keselamatan dan meningkatkan disiplin kendiri murid. Tambahan pula, ia menjimatkan masa dan tenaga guru dan murid, dan memupuk sikap yang baik dalam diri murid seperti bersifat koperatif dan bertanggungjawab.

Adalah dinasihatkan bahawa guru menerangkan kepada murid tentang rutin bilik darjah di awal tahun. Semua murid perlu faham dan jelas tentang rutin, peraturan dan prosedur bilik darjah supaya mereka boleh menjalankan tanggungjawab mereka secara ikhlas dan sukarela. Contoh rutin bilik darjah termasuklah mengambil kehadiran murid, memungut yuran dan menyusun kerusi dan meja.

 

 

 

 

 

Perancangan Persekitan Fizikal

 

 

           Meja guru

Meja guru diletakkan di depan kelas dan berada di tepi kanan meja murid. Kedudukan seperti ini adalah amat sesuai sekali diaplikasikan terutama pada murid Tahun lima. Meja guru juga hendaklah menghadap meja murid bagi membantu berlakunya kontek visual antara murid dan guru sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Kedudukan meja guru di depan kelas dan berada di tepi kanan meja murid ini juga  tidak menghalang penglihatan murid pada papan putih semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kedudukan ini juga dapat memaksimumkan pemantauan guru terhadap setiap murid dari setiap sudut. Apabila murid mengetahui setiap gerak gerinya diperhatikan, mereka akan dapat membuat kerja individu dengan sebaiknya. Dengan itu, kedudukan ini dapat mencapai keselesaan guru dan dapat merangsang semangat untuk guru mengajar dalam emosi yang positif.

 

           Kerusi dan meja murid

Perkara utama yang mesti diberi perhatian pada setiap kerusi dan meja murid ini ialah kuantiti kerusi dan meja adalah mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik dan selamat. Untuk tujuan keselasaan, saiz kerusi dan meja harulah sesuai dengan peringkat tahap umur murid. Bagi susunan pula, meja murid disusun secara berdua-dua. Susunan ini memudahkan pengajaran berpusatkan murid. Selain itu, susunan ini dapat menggalakkan interaksi antara murid dengan guru. Pada masa yang sama, murid juga masih boleh fokus kepada kerja sendiri dan pelajaran yang diajar oleh guru.

 

Sudut bacaan

Di satu sudut di bahagian belakang kelas dikhaskan sebagai sudut bacaan. Di sudut ini, dihamparkan permaidani dan diletakkan beberapa bantal untuk keselesaan murid-murid. Ruang ini lebih bersifat mesra kepada murid-murid dan memberi suasana seolah-olah mereka berada dirumah. Beberapa rak yang memuatkan buku, kamus, peta, surat khabar, majalah turut disusun di sudut ini untuk bacaan umum dan rujukan murid. Bahan-bahan bacaan ini diperolehi daripada sumbangan murid dan guru. Oleh itu, murid-murid akan berasa lebih bertanggungjawab untuk menjaganya kerana merasakan mereka turut memberi sumbangan bahan bacaan. Peraturan penggunaan ruangan ini turut dibina seperti bahan bacaan tidak boleh dikeluarkan daripada kelas, bahan bacaan perlu disusun kembali di atas rak selepas digunakan, buku yang rosak harus diganti dan sebagainya. Peraturan sebegini boleh mengelakkan berlakunya kerosakan dan kehilangan bahan bacaan ini. Untuk mendapatkan hasil yang efektif lagi, guru bolehlah mengaplikasikan Model Akibat Logikal Dreikurs di mana menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah.

 

           Pencahayaan dan pengudaraan

Pencahayaan dan pengudaraan yang cukup amatlah penting untuk keselesaan murid dan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Tingkap dan lampu yang mencukupi boleh memberi pencahayaan yang mencukupi. Guru haruslah memastikan alat elektrik ini berfungsi dan melaporkan kepada pihak bertanggungjawab jika terdapat kerosakan.  Susun atur perabot dalam bilik darjah juga hendaklah disusun dengan baik supaya tidak menghalang tingkap untuk mengelakkan berlakunya halangan pencahayaan dan pengudaraan. Oleh itu, guru hendaklah sentiasa membuka pintu dan tingkap untuk pengudaraan.

 

           Tempat simpanan bekal makanan

Selain itu, untuk membina persekitaran yang kondusif juga, guru bolehlah menyediakan tempat simpanan bekalan makanan. Satu peraturan mewajibkan semua murid dikehendaki menyimpan bekal makanan masing-masing di tempat ini perlu dilaksanakan. Hal ini kerana sekiranya terdapat murid yang membawa bekal makanan dan diletakkan di meja murid, andainya makanan itu tertumpah, ruang meja murid akan kotor dan mungkin juga akan mengotorkan buku-buku murid. Selain daripada itu, bekal makanan itu juga boleh menarik perhatian murid sehingga mengganggu tumpuan murid semasa belajar. Dengan adanya tempat simpanan bekal murid ini, masalah-masalah ini tidak wujud dan kelas kelihatan lebih kondusif.

 

Papan kenyataan

Pada papan kenyataan ini hendaklah dimuatkan jadual tugasan murid, hasil kerja murid, dan gambar aktiviti murid pada papan kenyataan untuk rujukan dan hiburan. Dalam jadual tugasan ini, murid-murid dibahagikan mengikut turutan hari dan tugas membersihkan kelas. Ini dapat melatih sifat bertaggungjawab dan kelas akan kelihatan bersih sepanjang hari. Dengan menampal hasil kerja pula, guru dapat melahirkan rasa bangga murid-murid apabila mereka melihat hasil kerja mereka dipamerkan dan secara tidak langsung mencetuskan minat mereka untuk belajar. Dalam hasil kerja murid pula dapat memberi input yang bermanfaat kepada semua murid

 

           Bakul sampah

Dengan adanya bakul sampah, kebersihan bilik darjah dapat dijaga kerana murid-murid perlu membuang sampah ke dalam bakul sampah.

 

           Peti pertolongan cemas

Peti pertolongan cemas ini diletakkan di hadapan kelas. Penggunaan peti pertolongan cemas ini perlu mendapat keizinan guru. Setiap kelas perlu mempunyai peti pertolongan cemas kerana kita tidak dapat menjangka bila berlakunya kemalangan. Dengan adanya peti ini, rawatan kecemasan dapat diberikan dengan segera apabila berlakunya kemalangan.

 

Jam dan Kalendar

Jam perlu diletakkan di hadapan kelas untuk melatih murid menghargai masa. Kalendar pula digunakan untuk rujukan tarikh. Dalam kalendar turut dicatatkan beberapa hari dan peristiwa penting seperti Hari Kebangsaan. Ini dapat melatih murid supaya peka dengan peristiwa-peristiwa penting sebegini.

 

       Rak guru

Rak guru diletakkan di sebelah meja guru bagi kemudahan guru untuk menyimpan bahan bantu mengajar, fail-fail,  termasuk untuk kegunaan murid.

Share Button

Incoming search terms:

  • keceriaan bilik darjah
  • sudut bacaan dalam bilik darjah
  • bilik darjah cantik
  • gambar bilik darjah yang cantik
  • contoh gambar keceriaan bilik darjah
Share

One Response to Bilik Darjah Kondusif

  1. Bedak Arab says:

    Bilik darjah yang cantik dah bersih memudahkan proses pembelajaran bagi plajar..
    Bedak Arab recently posted…SNE Kapsul Dan Beutskin EssenceMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge